Lega rasanya kerana saya telah menyiapkan buletin kolej untuk bilangan yang pertama ini. Sejak dari mula saya menyandang jawatan sebagai Exco Penerangan dan Publisiti ini saya telah mula merangka akan rancangan saya untuk semester ini. Saya tertarik dengan idea seorang rakan yang mencadangkan untuk menerbitkan buletin kolej. Rasanya, saya juga sependapat dengan beliau bahawa bahan informasi untuk pelajar di kolej kami itu masih kurang. Tidak mencukupi dengan hanya menampal memo di papan kenyataan PHEP sahaja.
Saya bermesyuarat dengan ahli exco saya sebulan sebelum penerbitan pertama. Mereka memberikan kerjasama yang amat baik dan ingin mengambil bahagian dalam projek yang kami gelar sebagai PROJEK ILTIZAM ini. ILTIZAM ini diilhamkan oleh seorang rakan yang selalu membantu saya dalam urusan MPP. ILTIZAM didefinisikan sebagai bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara, budaya suka membaca dan keyakinan teguh pada sesuatu perkara yang dipercayai.
Pada awal perjalanan projek ini, saya menghadapi pelbagai masalah terutamanya dari segi bahan yang ingin disampaikan serta imej ILTIZAM itu sendiri. Saya telah berjumpa dengan pengarah PHEP bagi mendapatkan pandangan beliau berhubung dengan projek ini. Beliau mencadangkan bahan-bahan yang sesuai untuk dirangkumkan dalam ILTIZAM ini nanti. Pada pertengahan projek ini, saya telah siap mengumpulkan bahan yang diingini dan telah menunjukkan pada rakan-rakan terdekat sahaja. Mereka telah memberikan komen yang positif terhadap projek ini. Akhirnya, saya telah menyediakan kertas kerja dan telah menyerahkannya kepada pengarah PHEP. Beliau telah meluluskan bajet projek ini dan menasihatkan saya dalam beberapa perkara yang harus diperbaiki pada keluaran hadapan nanti.
Saya telah mencetak buletin ini sehari selepas bajet projek ini diluluskan. Saya telah mengagihkan buletin ini di setiap hostel yang dimiliki oleh kolej. Respon yang saya terima daripada pelajar kolej adalah sangat positif dan ini mengukuhkan semangat saya untuk meneruskan projek ini di masa akan datang.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan seperjuangan yang menyokong pembabitan saya di dalam MPP selama ini, kepada Azmil, Angah, Norsham dan juga semua MPP yang membantu saya dalam projek ini, tidak lupa kepada pengarah PHEP En. Mohd. Faudzi b. Zainal Abidin yang tidak putus-putus memberi nasihat. Teguran yang mereka beri kepada saya akan saya jadikan pengajaran untuk memantapkan lagi diri saya sendiri. Terima kasih
Wednesday, September 2, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment